Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah segala puji bagi Allah, Tuhan yang Maha Esa dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Fasa 2 bagi projek pembangunan Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM) telah berjaya disiapkan dan diserahkan secara rasminya pada 4 April 2021 selaras dengan hasrat pembinaannya selaku pusat kecemerlangan keselamatan perlindungan Malaysia.
ILKEM kini sedang dalam proses penjenamaan semula dan merupakan institut latihan awam yang bernaung di bawah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri. Sebagai sebuah institut latihan awam, ILKEM berhasrat untuk melahirkan warga CGSO yang dapat mengadaptasi norma baharu dalam memberikan perkhidmatan dan nasihat kepada para pelanggan dan stakeholder. Warga CGSO kini menghadapi cabaran dalam melaksanakan tugas terutamanya dalam era peluasan penggunaan peralatan elektronik. Justeru, institut latihan ini dibina untuk memudahkan proses menambahkan pengetahuan warga CGSO khususnya dan penjawat umumnya melalui latihan dan kursus yang ditawarkan di sini.
ILKEM juga amat komited dalam menyahut seruan kerajaan untuk menyediakan fasiliti yang sesuai dan kondusif untuk membantu penjawat awam menjalani latihan di sini bagi meningkatkan prestasi kerja di organisasi masing-masing. Pembinaan laman portal ini adalah komitmen pihak pengurusan ILKEM untuk memudahkan capaian maklumat berkaitan kursus, latihan dan fasilliti yang ditawarkan untuk kegunaan para pelanggan ILKEM.
Akhir kata, ILKEM akan memberikan perkhidmatan yang terbaik selaras dengan misi CGSO iaitu “Memperkasakan Pengurusan Keselamatan Perlindungan dan Sasaran Penting Secara Holistik, Bersepadu Dan Berimpak Tinggi”.
Sekian, terima kasih
Roselan Bin Mohamed
Pengarah ILKEM