Pusat Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (PLKPM) yang pada awalnya dikenali sebagai Bahagian Latihan dan Kompetensi merupakan salah satu Bahagian di Ibu Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Putrajaya yang bertanggungjawab menyediakan latihan keselamatan perlindungan kepada semua penjawat dan agensi swasta yang berkaitan meliputi aspek keselamatan fizikal, dokumen, personel dan keselamatan ICT secara profesional dan berkesan.
Selaras dengan perkembangan semasa dan pertambahan fungsi Pejabat CGSO, Bahagian Latihan dan Kompetensi Pejabat KPKK telah dijenamakan semula kepada Pusat Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (PLKPM) bagi meningkatkan lagi keupayaan dan perkhidmatan bagi mencapai visi Pejabat CGSO sebagai pusat rujukan keselamatan perlindungan terunggul.
Cadangan pembinaan PLKPM telah diangkat kepada Kerajaan Malaysia pada tahun 2005 bagi memantapkan lagi program latihan dan kesedaran tentang keselamatan perlindungan khususnya kepada Skim KP dan penjawat awam.
Pembinaan Pusat Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia telah diluluskan pada tahun 2006 dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan dibina di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan sebagai salah satu pusat pendidikan terancang di Negeri Sembilan. Pembinaan Fasa 1 mula dibina pada 2 November 2009 dan siap sepenuhnya pada bulan Jun 2011. Pusat Latihan ini beroperasi sepenuhnya dengan ditadbir oleh Pengarah PLKPM dan dibantu oleh tiga program iaitu Program Pendidikan dan Kesedaran Keselamatan Perlindungan, Program Asas dan Kemahiran serta Program Akademik, Penyelidikan dan Pembangunan.
Berikutan terdapat permintaan yang tinggi untuk pelaksanaan kursus keselamatan perlindungan di PLKPM, pihak pengurusan CGSO telah merangka pembinaan Fasa 2 PLKPM bagi menampung pertambahan kapasiti operasi. Fasa 2 PLKPM telah diluluskan pada bulan Disember 2015 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan siap sepenuhnya pada 4 Februari 2021. Selari dengan pertambahan bangunan baharu, PLKPM telah diluluskan perjawatan tambahan bagi memantapkan pengurusan operasi PLKPM dengan pewujudan Pejabat Pendaftar pada bulan Februari 2021 yang bertanggungjawab untuk menguruskan fasiliti dan operasi di PLKPM. Unit Penyelidikan dan Keurusetiaan juga diwujudkan bagi membantu melaksanakan penyelidikan berkaitan keperluan kursus dan modul bagi Skim KP di CGSO.
Selaras dengan perubahan semasa serta pertambahan kapasiti pengoperasiannya, penjenamaan semula nama PLKPM kepada Institut Latihan Keselamatan Perlindungan Malaysia (ILKEM) telah dilaksanakan pada tahun 2022 bagi memberi nafas baharu kepada ILKEM sebagai pusat kecemerlangan keselamatan perlindungan dan setanding dengan institusi latihan awam yang lain.